KHABAR gembira tentang kurniaan cahaya mata sulung pelawak dan pelakon, Abam Bocey dicemari dengan tuduhan liar oleh individu yang mempertikaikan status anak selebriti itu.
Walaupun sekadar gurauan nakal, tetapi ia tetap memberi kesan dalam masyarakat terutamanya mengenai hukum fiqah.
Tuduhan yang tidak berasas ini bukan sahaja boleh mengeruhkan keadaan bahkan ia mengaibkan orang lain kerana menjatuhkan maruah seseorang itu termasuklah contoh gurauan mempersoalkan status DNA anak Abam.
Rasulullah pernah ditanya: “Orang Muslim yang manakah yang lebih baik?”
Baginda menjawab: “Seseorang Muslim yang lainnya selamat daripada (bahaya) lisan dan tangannya” – [HR Tirmizi: 2552].
Hukum seseorang yang menuduh orang lain tanpa bukti dengan tuduhan anak luar nikah atau anak haram atau yang difahami dengan jelas yang mana ia termasuk dalam hukum Qazaf.
Qazaf daripada segi bahasa bererti melontar sesuatu sama ada dengan batu atau seumpamanya.
Manakala daripada segi istilah syarak pula adalah melemparkan tuduhan zina kepada orang yang baik lagi suci atau menafikan keturunannya.
Adapun melemparkan tuduhan-tuduhan yang lain daripada zina dan menafikan keturunan seperti melemparkan tuduhan kufur, mencuri, minum arak dan sebagainya, termasuk mencerca, memaki hamun yang bertujuan untuk menghina maka pesalah-pesalah tersebut tidak dikenakan hukuman had tetapi dikenakan hukuman takzir.
Dengan demikian boleh dikatakan bahawa dalam syariat Islam ada dua jenis qazaf: Qazaf yang pesalahnya dikenakan hukuman had dan qazaf yang pesalahnya hanya dikenakan hukuman takzir.
Takzir adalah kesalahan yang hukumannya tidak dijatuhkan hudud atau qisas, ia tidak ditentukan dengan kadar atau bentuk hukuman yang dinyatakan dalam al-Quran dan hadis.
Punca utama bagi kesalahan-kesalahan yang dilakukan menerusi lidah seperti membuat tuduhan palsu, mencerca, memaki dan sebagainya, kerana Islam melarang berbuat bohong dan putar belit. Sebaliknya, Islam menggalakkan bercakap benar dalam apa jua keadaan.
Sebab itulah bagi orang yang bercakap benar tidak boleh dikenakan hukuman dan tidak boleh dikenakan hukuman ke atas orang yang memanggil “Hai pezina” kalau orang itu memang benar-benar berzina atau menggelarkan seorang itu pencuri kalau memang sabit dia seorang pencuri atau mengatakan seorang itu kafir jika memang disabit dia itu kafir.
Melemparkan tuduhan zina yang tidak berasas adalah diharamkan oleh syarak berasaskan pada nas-nas al-Quran dan al-Sunnah.
Firman Allah dalam Surah An-Nur ayat ke 4 yang bermaksud: “Dan mereka yang melemparkan tuduhan palsu (berzina) ke atas perempuan-perempuan yang suci bersih kemudian tidak membawa empat orang saksi maka deralah mereka (yang menuduh) dengan 80 kali dera dan janganlah kamu terima kesaksian mereka buat selama-lamanya dan merekalah orang-orang fasiq.”
Allah mengeji dan mengutuk kepada mereka yang menggunakan lidah untuk memaki hamun, fitnah, menuduh, mengata, menggumpat, menghina orang dan sebagainya.
Firman Allah dalam Surah Al-Humazah ayat 1 yang bermaksud: “Kecelakaanlah bagi setiap pengumpat lagi pencela.”
Perkataan Humazah adalah dari segi percakapan yang bermaksud menyebut sesuatu perkara di belakang seseorang yang mana seseorang itu menyembunyikannya disebabkan sesuatu yang tidak elok jika disebutkannya dihadapan orang lain.
Adapun perkataan Lumazah adalah dari sudut perbuatan iaitu menyakiti seseorang itu melalui perbuatannya.
Maka tidak layaklah seseorang itu menuduh orang lain dengan tuduhan yang liar tanpa mengemukakan bukti walaupun dengan niat bergurau kerana ia akan memberi kesan yang besar kepada masyarakat kita kerana boleh membawa kepada kemusnahan integriti dan sifat kesopanan masyarakat Malaysia yang berbilang agama dan bangsa.
Perbuatan sedemikian perlulah ditentang oleh semua lapisan masyarakat dan jangan sesekali memberikan kepada mereka ruang serta peluang yang boleh merosakkan hubungan baik sesama kita dengan menggunakan teknologi bagi menyebarkan berita-berita palsu dan perkara-perkara yang memalukan.
Disediakan
- Penyelidik Syariah : Khairul Hanin Binti Bazli
- Penyelidik Syariah : Nurizyan Binti Ruslan
- Penyelidik Syariah : Nik Mohammad Marwan Bin Nik Mohd Manan