IBADAH korban merupakan amalan yang sangat dituntut dalam Islam. Tujuannya adalah sebagai amalan untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT. Ia telah disyariatkan pada tahun kedua hijrah.
Dalil pensyariatannya sabit dengan al- Quran dalam surah al-Kauthar ayat 2: Oleh itu kerjakanlah solat kerana Tuhanmu dan sembelihlah korban (tanda kesyukuran).
“Korban” bermaksud nama bagi sesuatu yang dikorbankan, atau nama bagi ternakan yang disembelih pada Aidiladha. Korban bermaksud menyembelih ternakan tertentu dengan taqarrub (mendekatkan diri) kepada Allah SWT pada masa-masa tertentu.
Sesungguhnya ibadah korban juga merupakan kaedah terbaik untuk mendekatkan diri kepada Allah sebagaimana juga dengan ibadat solat. Ibadah korban juga dapat menjadi salah satu ukuran aspek takwa seorang hamba kepada yang Maha Esa.
Ini berdasarkan firman Allah dalam surah al-Maidah ayat 27 yang bermaksud; “Sesungguhnya Allah hanya menerima (korban) dari orang yang bertakwa.” Dalam ayat lain selanjutnya Allah berfirman yang bermaksud; “Daging unta dan darahnya itu sekali-kali tidak dapat mencapai (keredaan) Allah, tetapi ketakwaan dari kamulah yang dapat mencapainya.” – [Surah Al Hajj ayat 37].
Antara hikmah melakukan ibadah korban
- Ibadah korban disyariatkan sebagai tanda bersyukur terhadap Allah SWT atas segala nikmatNya yang berbagai-bagai dan juga atas kekalnya manusia dari tahun ke tahun. Pelbagai nikmat yang Allah berikan kepada kita antaranya nikmat kesihatan, kebahagiaan, kemewahan dan yang paling penting adalah nikmat keimanan kepadaNya.
- Membantu golongan yang susah antara sifat orang mukmin. Mereka sentiasa meringankan beban golongan fakir miskin dengan membelanjakan harta kemewahan yang Allah berikan kepada mereka. Dengan membuat ibadah korban orang yang susah dapat merasai nikmat merasai daging. Sesungguhnya dengan bersedekahlah Allah akan melipat gandakan ganjaran serta memudahkan segala urusan mereka.
- Ia juga bertujuan menjadi kifarat bagi pelakunya sama ada disebabkan kesilapan-kesilapan yang telah dilakukan, ataupun dengan sebab kecuaiannya dalam menunaikan kewajipan. Dengan melakukan ibadah korban maka ia akan mendekatkan diri kita kepada Allah disamping mencari reda Allah.
- Ibadah korban yang dilakukan dengan penuh ketaatan, ketakwaan dan keikhlasan akan mendapat ganjaran besar serta berlipat ganda dari Allah SWT. Ini berdasarkan hadis nabi yang bermaksud; “Pada setiap helai bulunya itu kita akan memperoleh satu kebaikan.” – [HR. Ahmad dan Ibnu Majah].
- Selain itu, pada hari akhirat kelak, binatang yang kita korbankan itu akan menjadi saksi terhadap amalan ketaatan yang dilaksanakan.
Menurut pandangan jumhur ulama, hukum melaksanakan ibadah korban adalah sunat muakkadah bagi individu yang berkemampuan. Pandangan ulama mazhab Syafie adalah sunat ‘ain bagi setiap orang sekali dalam seumur hidup.
Menurut pandangan yang masyhur dalam kalangan ulama mazhab Maliki adalah makruh meninggalkannya bagi mereka yang mampu. Manakala bagi mereka yang berniat untuk melakukan korban nazar maka hukum melaksanakannya adalah wajib.
Pembahagian daging korban terbahagi kepada dua jenis, iaitu sembelihan korban wajib (nazar) dan sembelihan sunat seperti yang berikut:
Pembahagian daging korban wajib atau nazar
Wajib semua dagingnya termasuk kulit dan tanduk disedekahkan kepada orang fakir dan miskin, dan haram bagi pihak orang yang berkorban memakan daging korbannya atau memanfaatkan sembelihan itu untuk kepentingan dirinya.
Pembahagian daging korban sunat
Menurut pandangan ulama mazhab Syafie:
- Untuk dimakan oleh pihak yang berkorban dan ahli keluarganya.
- Untuk disedekahkan kepada fakir dan miskin.
- Untuk dihadiahkan kepada sahabat handai termasuk orang kaya atau jiran-jiran.
Paling afdal menurut pandangan ulama mazhab Syafie ialah bersedekah semuanya kecuali pada beberapa ketul atau suapan yang agak berpatutan dimakan oleh orang yang berkorban untuk mengambil berkat, seperti sebahagian hati kerana ia sunat dimakan.
Amalan ini pernah dilakukan oleh Nabi SAW ketika Baginda melakukan korban.
Agihan daging korban
Sebelum melaksanakan pengagihan daging korban, tindakan pertama yang wajib dilakukan ialah mengasingkan antara daging bahagian korban wajib daripada daging bahagian korban sunat sebelum diagihkan kepada penerima.
Hal ini jika perkongsian tujuh bahagian itu berlaku antara mereka yang berniat korban wajib dengan mereka yang berniat korban sunat, atau ada bahagian yang diniatkan untuk akikah.
Ini langkah pertama yang amat penting kerana daging korban wajib, wajib diagihkan kepada yang berhak kesemuanya, begitu juga dengan bahagian akikah yang ada cara pengagihannya yang sedikit berbeza dengan pengagihan korban sunat.
Beberapa urusan lain yang berkaitan dengannya hendaklah diputuskan melalui jawatankuasa yang dibentuk untuk memudahkan pengagihan kepada pihak-pihak yang telah dikenal pasti seperti yang berikut:
- Memastikan daging korban cukup untuk diagihkan kepada pihak-pihak yang telah disenaraikan;
- Menyediakan senarai penerima daging korban mengikut keutamaan;
- Mengutamakan golongan fakir dan miskin yang telah dikenal pasti status mereka;
- Mengagihkan daging korban kepada mereka yang tinggal di kawasan terpencil;
- Menyediakan kontena sejuk (jika perlu) untuk menempatkan daging korban sebelum ia diagih ke kawasan pedalaman; dan Mengagihkan daging korban kepada golongan yang berada sekiranya terdapat lebihan daging korban tersebut.
Mudah-mudahan ibadah korban yang kita lakukan ini mendapat reda Allah serta menjadikan kita hamba Allah yang sentiasa mensyukuri nikmatnya.
Disediakan
- Penyelidik Syariah : Khairul Hanin Binti Bazli
- Penyelidik Syariah : Nurizyan Binti Ruslan
- Penyelidik Syariah : Nik Mohammad Marwan Bin Nik Mohd Manan