Edit Content
Click on the Edit Content button to edit/add the content.
Edit Content

HALAMAN UTAMA

INFO KORPORAT

INFO KOMPLEKS

PENERBITAN

MEDIA

TABUNG

AMALAN UNTUK MENDAPAT SYAFAAT BAGINDA RASULULLAH

https://www.ahlulbaitindonesia.or.id/berita/wp-content/uploads/2020/10/Syafaat-Dari-Teman-Satu-Majlis.jpg

SYAFAAT ditakrifkan sebagai kelebihan yang dikurniakan Allah kepada baginda Rasulullah SAW untuk menolong umatnya di Padang Mahsyar ketika hari kiamat kelak.

Allah mengangkat darjat baginda bukan sahaja di dunia bahkan di akhirat nanti dengan Allah mengizinkan Rasulullah memberi syafaat kepada umatnya yang layak.

Firman Allah di dalam Surah Ad-Dhuha ayat yang ke 5: (Maknanya): Dan sesungguhnya Tuhanmu akan memberikanmu (kejayaan dan kebahagiaan di dunia dan di akhirat) sehingga engkau reda – berpuas hati.

Di dalam sebuah hadis yang panjang bagaimana Allah berfirman kepada baginda Rasulullah ketika mana baginda sujud di Arash Allah lalu Allah berfirman: Wahai Muhammad, angkatlah kepalamu dan mohonkanlah (kepada-Ku), nescaya kamu akan Kuberi, dan mohonlah syafaat (kepada-Ku), nescaya kamu (diizinkan) memberi syafaat. Maka Nabi Muhammad mengangkat kepalanya, lalu berkata,”Ya Tuhanku, selamatkanlah umatku.” – [HR Muslim 284].

Sebagai umat Nabi Muhammad kita pasti berasa gembira dengan perkhabaran dalam hadis itu tadi. Ini kerana baginda tidak pernah melupakan umatnya lebih-lebih lagi kita yang tidak hidup di zamannya dan sama sekali tidak pernah melihat baginda Rasulullah.

Persoalannya sekarang bagaimana kita mahu mendapat syafaat baginda nanti? Adakah hanya dengan gelaran umat Muhammad melayakkan kita mendapat syafaat daripada Rasulullah?

Para alim ulama menyebut beberapa amalan yang mana dengan amalan itu melayakkan kita mendapat syafaat baginda Rasulullah di sana nanti. Antaranya ialah:

  1. Beriman kepada Allah

Sudah pasti beriman kepada Allah menjadi syarat utama untuk mendapat syafaat daripada Rasulullah. Ini berdasarkan hadis Nabi: Manusia yang paling beruntung dengan syafaatku pada hari kiamat adalah yang mengucapkan Laa-ilaaha-illa-llaah (tiada tuhan melainkan Allah) dengan tulus dari lubuk hatinya. – [HR Bukhari 6085].

Mentauhidkan Allah merupakan kunci utama untuk mendapatkan syafaat baginda Rasulullah. Ia bukan sekadar ungkapan di bibir tetapi ia harus selari dengan percakapan dan pengakuan dari hati yang ikhlas kepadaNya.

  1. Doa selepas azan

Ramai dalam kalangan kita yang alpa dengan doa selepas azan. Ini kerana kesibukan kita dalam urusan dunia sehingga menjadikan kita lupa akan kepentingan doa selepas berkumandangnya azan. Sabda baginda Rasulullah:

Barang siapa berdoa setelah mendengar azan: ALLAHUMMA RABBA HAADZIHID DA’WATIT TAMMAH WASHSHALAATIL QAA’IMAH. AATI MUHAMMADANIL WASIILATA WALFADLIILATA WAB’ATSHU MAQAAMAM MAHMUUDANIL LADZII WA’ADTAH (Ya Allah. Tuhan Pemilik seruan yang sempurna ini, dan pemilik solat yang akan didirikan ini, berikanlah wasilah (kedudukan yang tinggi di syurga) dan keutamaan kepada Muhammad. Bangkitkanlah dia pada kedudukan yang terpuji sebagaimana Engkau telah janjikan). Maka ia berhak mendapatkan syafaatku pada hari kiamat. – [HR Bukhari 579]

  1. Perbanyakkan selawat ke atas Baginda

Sudah pasti orang yang kita sayang dan cinta akan selalu disebut-sebut di bibir kita. Kita tidak akan sama sekali melupai walaupun sedetik dek kerana cinta yang membara.

Begitu jugalah kasih sayang kita kepada junjungan besar baginda Rasulullah. Berapa banyakkah nama baginda Rasulullah meniti di bibir kita dalam sehari?

Sabda Baginda Rasulullah: Orang yang paling dekat denganku pada hari kiamat adalah yang paling banyak berselawat keatasku. – [HR Tarmizi 446].

Jika Allah dan malaikat sentiasa berselawat ke atas baginda kenapa kita selaku umatnya tidak berselawat ke atas baginda Rasulullah? Maka persoalan ini perlulah ditanyakan kepada diri masing-masing.

  1. Perbanyakkan sujud

Semakin banyak seseorang itu sujud kepada Allah maka makin mudah untuk mendapat syafaat baginda Rasulullah.

Ini kerana apabila kita sujud kepada Allah maka Allah akan kasih dan cinta kepada kita dan Allah akan makbulkan segala permintaan yang kita hajatkan.

Sabda baginda Rasulullah: Dari Rabi’ah bin Ka’ab al Aslami beliau berkata: Aku pernah tinggal bersama Rasullullah, maka aku pun membawakan air wuduk dan keperluan baginda yang lain, maka baginda pun bersabda: Mintalah apa yang kamu inginkan, maka aku katakan: Aku minta agar boleh menemanimu di syurga. Baginda Rasulullah pun kembali bertanya: Ada yang lain dari itu? Maka aku katakan: Hanya itu saja, maka Baginda Rasulullah pun bersabda: Kalau begitu, maka bantulah saya (agar Allah memakbulkan permintaan) dengan memperbanyakkan sujud. – [HR Muslim 754].

  1. Duduk dan sabar di bandar Nabi iaitu Madinah Munawwarah

Peluang untuk menunaikan ibadah haji dan umrah sepatutnya tidak boleh dilepaskan begitu sahaja. Ini kerana apabila seseorang menunaikan haji atau umrah maka mereka akan pergi ke Madinah Munawwarah iaitu kota Baginda Rasulullah.

Terdapat sebuah hadis mengenai kelebihan mereka yang tinggal di Madinah dan sabar dengan kesusahannya serta jika mereka meninggal di sana maka akan mendapat syafaat baginda Rasulullah.

Sabda Rasulullah: Kota Madinah lebih baik bagi mereka jika mereka mengetahuinya. Orang yang meninggalkan kota itu kerana tidak senang kepadanya, maka Allah akan menggantinya dengan orang yang lebih baik daripadanya. Seorang yang sabar tinggal di kota itu dalam kesusahan dan kesulitan hidup, maka aku akan memberinya syafaatku atau menjadi saksi baginya di hari kiamat nanti. – [HR Muslim 2426].

Alangkah ruginya mereka yang bergelar umat Muhammad tetapi tidak mendapat syafaat baginda pada hari kiamat dek kerana kelakuan mereka sendiri yang menyebabkan mereka tidak layak untuk menerima anugerah yang terhebat ini.

Disediakan