
DOSA SESAMA MANUSIA
- Penerbit : Dr. Nur Mohammad Hadi Bin Zahalan
- 15/2/2021

SETIAP orang pasti tidak terlepas daripada melakukan kesalahan sama ada dosa dengan Sang Pencipta atau dosa sesama manusia.
Dosa dengan Allah akan diampunkan jika seseorang itu bertaubat dan menyesal atas segala perbuatannya serta bertekad untuk tidak mengulangi perbuatan maksiat itu selama-lamanya.
Namun, sekiranya maksiat itu berkaitan dengan hak manusia yang lain, maka syaratnya ada empat. Iaitu ketiga-tiga syarat di atas dan ditambah satu syarat lagi, iaitu memohon kemaafan daripada orang yang kita zalimi.
Perlu diketahui bahawa dosa dengan manusia sangatlah berat jika tidak dimaafkan oleh orang tersebut. Sabda Baginda Rasulullah:
Barang siapa yang menanggung kezaliman yang dilakukan ke atas orang lain, sama ada mengenai maruah dan kehormatan atau apa-apa perkara lain (mengambil harta orang lain) maka bersegeralah untuk meminta keampunan sebelum datangnya masa yang tidak ada padanya wang ringgit atau emas perak untuk membayarnya. [HR Tirmizi 2419]
Seseorang boleh menjadi muflis di akhirat nanti disebabkan dosa-dosa dengan orang lain yang pernah dizalimi ketika hidup di atas muka bumi. Oleh kerana itu perlu diketahui bagaimana cara untuk meminta maaf kepada orang yang pernah kita zalimi.

Kata Imam Nawawi: Apabila seseorang itu hendak meminta dibebaskan daripada hak orang yang dizaliminya:
- Jika berbentuk harta benda atau sejenisnya maka dia harus mengembalikannya (kepada orang yang diambil hartanya).
- Jika dalam bentuk tuduhan palsu atau seumpamanya, maka hendaklah dipulihkan namanya atau meminta maaf kepadanya.
- Jika ia berbentuk ghibah (umpatan), maka harus minta dihalalkan. (Riyadh al-Salihin 41-42)
Meminta maaf kepada orang yang pernah dizalimi lebih mudah jika kita mengetahui keberadaannya. Adapun sekiranya orang yang dicari tersebut tidak diketahui, maka para alim ulama’ telah menyenaraikan langkah-langkah bagi mengembalikan hak seseorang itu.
Di dalam Kitab Majmu’ Syarh Muhazzab (9/351) menceritakan bahawa barang siapa yang menyimpan harta haram (harta yang bukan miliknya, termasuk hutang) dan dia hendak bertaubat daripada perbuatannya serta mahu lepaskan diri daripada harta haram tersebut, jadi dia perlu mencari si pemilik sah harta itu.
Disediakan
- Penyelidik Syariah : Khairul Hanin Binti Bazli
- Penyelidik Syariah : Nurizyan Binti Ruslan
- Penyelidik Syariah : Nik Mohammad Marwan Bin Nik Mohd Manan