https://www.islampos.com/wp-content/uploads/2022/02/muslim-iman-dakwah.jpg
DAKWAH ialah mengajak manusia kepada agama Islam dengan menyeru manusia melakukan kebaikan dan mencegah mereka daripada melakukan kejahatan.
Firman Allah di dalam Surah Al-Imran ayat 104: Dan hendaklah ada di antara kamu segolongan umat yang menyeru kepada kebajikan, menyuruh kepada yang ma’ruf dan mencegah dari yang mungkar merekalah orang-orang yang beruntung.
Menyeru manusia untuk kembali kepada Allah dengan mengabdikan diri kepadaNya itu lebih baik daripada memiliki perhiasan-perhiasan yang terbaik seperti unta merah.
Sabda Baginda Rasulullah: Demi Allah, apabila ada seorang sahaja yang mendapat petunjuk melalui dirimu, maka itu adalah lebih baik bagimu daripada unta merah (jenis unta yang paling baik). – [HR Bukhari 2942 Muslim 2406]
Imam Nawawi berkata: Yang dimaksudkan dalam hadis tersebut ialah unta merah. Unta tersebut adalah harta yang paling istimewa dalam kalangan orang Arab pada masa itu.
Di sini Baginda Rasulullah menjadikan unta merah sebagai perumpamaan untuk mengungkapkan betapa berharganya (mulianya) suatu perbuatan. Dan sememangnya tidak ada harta yang lebih istimewa daripada unta merah ketika itu.
Sebagaimana pernah dijelaskan bahawa perumpamaan suatu perkara akhirat dengan keuntungan dunia, ini hanyalah untuk memudahkan kefahaman.
Namun, tentu sahaja balasan di akhirat itu lebih besar daripada kenikmatan dunia yang ada. Demikianlah maksud dari setiap gambaran yang biasa disebut dalam hadis. (Lihat al-Minhaj fi Syarh Sahih Muslim ibn al-Hajjaj, 15/178)
Baru-baru ini viral di media sosial seorang pendakwah yang menyalurkan bantuan kepada masyarakat bertanyakan kepada mereka perihal solat sehingga mengatakan bahawa dia mengetahui seseorang itu solat atau tidak.
Perbuatan itu mendapat pelbagai reaksi daripada masyarakat. Hukum merendah-rendahkan orang lain dengan tujuan untuk memalukannya dengan mengatakan seseorang itu tidak solat adalah tidak dibenarkan dalam Islam.
Sabda Baginda Rasulullah: Tidaklah seseorang melempar tuduhan kepada orang lain dengan kefasiqan (sesuatu maksiat) dan tidak pula menuduh dengan kekufuran melainkan (tuduhan itu) akan kembali kepadanya, jika saudaranya tidak seperti itu.” – [HR Bukhari 6045].
Kata Imam al-Hafiz Ibn Hajar al-Asqalani, barang siapa yang berkata kepada seseorang dengan mengatakan kamu fasiq atau kamu kafir dan tuduhan itu tidak seperti yang dikatakan maka dia (yang melemparkan tuduhan) berhak mendapat apa (sifat) yang disebutkan itu.
Jika sebaliknya, maka tuduhan itu tidak akan kembali kepadanya disebabkan tuduhannya itu benar.
Tambahan pula, jika seseorang itu mengatakan sedemikian dengan tujuan untuk menasihatinya atau menasihati orang lain dengan menjelaskan hal keadaannya maka ia dibenarkan.
Adapun jika tujuannya untuk memalukan orang yang dituduhnya atau memperkenalkan kepada khalayak akan sifat tersebut yang ada pada dirinya makai ia tidak dibenarkan kerana kita dituntut untuk menutup aib saudara kita serta mengajarnya dan memberi nasihat kepadanya dengan penuh hikmah.
Selain itu, selagi mana seseorang itu mampu untuk melakukannya dalam keadaan yang baik maka dia tidak boleh melakukannya dalam keadaan kekerasan kerana bimbang ini akan menjadi sebab orang yang dituduh akan berterusan dengan keadaan seperti itu. [Lihat: Fath al-Bari, 466/10]
Suka untuk ustaz kongsikan kepada pembaca antara adab dalam kita menyampaikan dakwah ialah:
- Berdakwah dengan cara hikmah
Dalam melaksanakan dakwah, komunikasi digunakan bagi tujuan menyampaikan, memberi kefahaman serta meyakinkan masyarakat dengan mesej Islam.
Firman Allah di dalam Surah Al-Nahl ayat 125: Serulah (manusia) kepada jalan Tuhan mu dengan hikmah dan pelajaran yang baik dan bantahlah mereka dengan cara yang baik.
- Berdakwah dengan kasih sayang
Berkasih sayang antara satu sama lain dalam menyampaikan dakwah adalah satu tuntutan dan akan memberi kesan kepada mereka yang mendengar.
Ini kerana, Islam merupakan agama yang selamat. Ia bukan sahaja selamat di akhirat tetapi selamat dari kata-kata kesat atau kata-kata yang menyakitkan.
Firman Allah di dalam Surah Al-Imran ayat 159: Maka dengan sebab rahmat (yang melimpah-limpah) dari Allah (kepadamu wahai Muhammad), engkau telah bersikap lemah-lembut kepada mereka (sahabat-sahabat dan pengikutmu), dan kalaulah engkau bersikap kasar lagi keras hati, tentulah mereka lari dari kelilingmu.
- Berdakwah dengan bahasa yang lemah lembut
Nasihat atau teguran yang disampaikan perlulah dengan adab dan sopan. Kerana tanpa adab dan cara yang betul, ia bukan sahaja akan menimbulkan salah faham bahkan akan menimbulkan kemarahan orang yang ditegur dan menyebabkan terjadinya pertengkaran kerana tidak semua orang boleh menerima nasihat dan teguran.
Oleh itu, adab dan sopan perlu seiring dalam menasihati, menegur dan memberikan pendapat.
Firman Allah di dalam Surah Taha ayat 44: Maka kamu katakan kepadanya kata-kata yang lemah-lembut, mudah-mudahan dia beringat (sedar) atau takut (kepada Tuhan)
- Berdakwah dengan akhlak
Antara cara yang dapat memberi kesan kepada orang yang kita dakwah ialah dengan menunjukkan nilai akhlak yang tinggi. Ada kalanya kita tidak perlu bercakap tetapi dengan menunjukkan akhlak yang baik akan menyebabkan orang terpesona kepada Islam.
Sabda Baginda Rasulullah: Orang yang paling saya cintai dan yang paling dekat denganku (kelak di akhirat) adalah orang yang paling baik akhlaknya. Dan orang yang paling saya benci dan paling jauh denganku (kelak di akhirat) adalah orang yang paling buruk akhlaknya. Iaitu mereka yang banyak berbicara dan suka mencemuh manusia dengan kata-katanya. – [HR Ahmad 17077].
Berdakwah adalah tugas dan tuntutan mulia dalam masyarakat sehinggakan ia digandingkan dengan gelaran umat terbaik.
Seperti mana firman Allah di dalam Surah Ali Imran, ayat 110 yang bermaksud: Kamu (wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji) serta kamu pula beriman kepada Allah (dengan sebenar-benar iman).
Maka sebagai seorang muslim seharusnya menggunakan pendekatan yang baik agar masyarakat dapat memahami Islam dengan lebih berkesan.
Disediakan
- Penyelidik Syariah : Khairul Hanin Binti Bazli
- Penyelidik Syariah : Nurizyan Binti Ruslan
- Penyelidik Syariah : Nik Mohammad Marwan Bin Nik Mohd Manan