Edit Content
Click on the Edit Content button to edit/add the content.
Edit Content

HALAMAN UTAMA

INFO KORPORAT

INFO KOMPLEKS

PENERBITAN

MEDIA

TABUNG

MENGHAYATI ERTI KEMERDEKAAN

https://apicms.thestar.com.my/uploads/images/2020/08/27/836242.jpg

SETIAP tahun kita akan menyambut bulan kemerdekaan pada 31 Ogos dan pada tahun ini genaplah kemerdekaan negara yang ke-64.

Ini bererti sudah 64 tahun kita bebas daripada penjajahan. Sebagai penduduk negara yang bertuah ini, marilah kita bersyukur kerana telah dikurniakan nikmat kemerdekaan, keamanan, kesejahteraan dan kedamaian seterusnya dapat dikekalkan.

Ini berdasarkan firman Allah dalam surah Ibrahim ayat 14: Jika kalian bersyukur nescaya akan Ku tambah (nikmatku) pada kalian, dan jika kalian mengingkari (nikmatku), maka pasti azabKu sangat pedih.

Kemerdekaan yang sebenar bukan sahaja kemerdekaan dari jajahan tanah air tetapi kemerdekaan dari semua aspek sama ada pemikiran, tingkah laku dan budaya.

Sebagai seorang mukmin yang sejati kita mestilah memerdekakan jiwa dan raga kita dari pengabdian diri kepada manusia atau harta benda tetapi hanya mengabdikan diri kepada Allah. Ini dapat dilihat bagaimana Baginda Rasulullah berjuang untuk memerdekakan hamba dan hanya mengabdikan diri kepada yang Maha Pencipta.

Oleh demikian marilah sama-sama kita menghayati erti kemerdekaan yang sebenar dengan;

  1. Sentiasa menjadi mukmin yang kuat

Seorang mukim yang kuat lebih disayangi di sisi Allah sepertimana dalam sebuah hadis Baginda sabda Baginda Rasulullah: Orang mukmin yang kuat lebih baik dan lebih dicintai oleh Allah daripada orang mukmin yang lemah. Pada masing-masing memang terdapat kebaikan. Capailah dengan sungguh-sungguh apa yang berguna bagimu, mohonlah pertolongan kepada Allah ‘Azza wa Jalla dan janganlah kamu menjadi orang yang lemah. [HR Muslim 4816]

Sebagai jiwa yang merdeka kita perlu sentiasa menjadi yang terbaik dari semua sudut dan semua bidang supaya tidak ada sesiapa yang dapat menindas kita. Disebabkan itu kita sentiasa diminta untuk mencari ilmu agar ilmu yang ada dapat digunakan dalam memacu negara ke arah yang lebih baik.

  1. Menjaga keamanan dengan baik

Sudah menjadi lumrah bagi seorang rakyat Malaysia agar kita bangkit untuk mempertahankan tanah air yang tercinta ini daripada anasir-anasir yang merosakkan. Serangan pada hari ini bukan sahaja dari sudut ketenteraan tetapi dari sudut pemikiran yang ingin merosakkan anak bangsa dan menghanyutkan mereka dengan hiburan.

Firman Allah di dalam Surah Al-Anfal ayat 60: Dan sediakanlah untuk menentang mereka (musuh yang menceroboh) segala jenis kekuatan yang dapat kamu sediakan dan dari pasukan-pasukan berkuda yang lengkap sedia, untuk menggerunkan dengan persediaan itu musuh Allah dan musuh kamu serta musuh-musuh yang lain dari mereka yang kamu tidak mengetahuinya; sedang Allah mengetahuinya. Dan apa sahaja yang kamu belanjakan pada jalan Allah akan disempurnakan balasannya kepada kamu, dan kamu tidak akan dianiaya.

Kata para alim ulama kelengkapan yang hebat pada waktu itu adalah dengan menyediakan kelengkapan kuda-kuda perang kerana Al-Quran meminta supaya menyediakan kekuatan seperti pasukan berkuda.

Tetapi pada hari ini kekuatan itu sudah bertukar kepada teknologi maka menjadi satu kewajiban kita untuk menyediakan teknologi yang canggih agar dapat menggerunkan musuh-musuh Allah.

  1. Menjauhkan pertelingkahan yang merugikan negara

Menjadi satu kerugian kepada negara kita yang tercinta ini dengan apabila berlaku pertelingkahan sesama kita. Bermula dari parti politik sampailah kepada bangsa dan agama. Maka ini akan menyebabkan musuh-musuh negara mengambil kesempatan atas kelemahan yang tidak mahu dibaiki.

Firman Allah di dalam Surah Al-Imran ayat 103: Dan berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali Allah (agama Islam), dan janganlah kamu bercerai-berai; dan kenanglah nikmat Allah kepada kamu ketika kamu bermusuh-musuhan (semasa jahiliyah dahulu), lalu Allah menyatukan di antara hati kamu (sehingga kamu bersatu-padu dengan nikmat Islam), maka menjadilah kamu dengan nikmat Allah itu orang-orang Islam yang bersaudara.

Islam mengajarkan kepada kita supaya bersatu padu antara kita agar sentiasa kuat dan tidak alpa. Islam juga meraikan kepelbagaian budaya dan agama dan mengajarkan kepada umatnya agar saling hormat-menghormati antara satu sama lain.

  1. Menjaga hubungan sesama bangsa dan agama

Haruslah diingat bahawa untuk hidup dalam keadaan harmoni, ia menuntut warganya saling kenal mengenali, meraikan perbezaan pendapat dan mengelakkan sentimen perkauman yang boleh membawa kepada perpecahan.

Firman Allah didalam Surah Al-Hujarat ayat 13: Hai manusia, sesungguhnya Kami menciptakan kamu dari seorang laki-laki dan seorang perempuan dan menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling kenal mengenal.

Sebagai umat Islam dan warganegara yang merdeka, hendaklah kita terus berusaha mempertahankan nikmat kemerdekaan ini dengan memelihara keharmonian serta perpaduan rakyat majmuk berbilang kaum, bangsa, budaya, pegangan juga adat resam.

Bertemakan Malaysia Prihatin marilah sama-sama kita semarakkan jiwa merdeka dalam kalangan masyarakat Malaysia dan bersatu untuk memartabatkan Malaysia di persada dunia. Janganlah disebabkan perbezaan pandangan akhirnya meruntuhkan perpaduan negara yang selama ini utuh dan akhirnya merugikan anak cucu kita nanti.

Kita sekarang diuji dengan pandemik covid-19 yang mana perlulah diuruskan dengan baik. Jika tidak, kita akan melihat negara yang tercinta tersungkur ke dalam konflik yang sangat besar dan akan memberikan kesan kepada rakyat secara keseluruhannya.

Kita juga seharusnya mengucapkan terima kasih kepada pejuang-pejuang barisan hadapan dan juga pejuang-pejuang yang tidak didendangkan yang telah bertungkus lumus dalam menangani wabak ini. Marilah kita saling bantu membantu dan inilah masanya kita menunjukkan kemuafakatan kita dalam menghadapi cabaran yang sangat dahsyat ini.

Ayuh rakyat Malaysia kita kibarkan bendera Malaysia dan kita hayati makna kemerdekaan yang hakiki agar kita menjadi bangsa yang sejati. Merdeka…Merdeka…Merdeka!

Disediakan