https://cdn.mingguanwanita.my/2018/01/Untitled-design9-2.jpg
ANAK merupakan amanah daripada Allah. Setiap anak yang lahir itu dianggap bersih fitrahnya sebagaimana sabda Rasulullah:
Maksudnya: “Tidak ada yang dilahirkan melainkan diciptakan menurut fitrahnya.” [HR Muslim 2658]
Oleh itu, wajib kita melindungi dan memberikan hak yang sepatutnya kepada anak yang lahir termasuklah anak angkat.
Secara amnya, anak angkat adalah anak yang bukan hasil daripada nasab keturunan seseorang itu sendiri. Pengambilan anak angkat pula bermaksud seseorang itu mengambil anak orang lain sebagai anak buat dirinya.
Pasangan yang mengambil anak angkat ini mempunyai beberapa sebab tertentu seperti pasangan yang sudah lama berkahwin namun tidak dikurniakan anak, mempunyai masalah kesihatan dan sebagainya.
Namun, masih ada lagi isu penderaan ke atas anak angkat. Baru-baru ini kita dikejutkan dengan kes penderaan seorang kanak-kanak berusia empat tahun yang didera oleh ibu angkatnya semasa makan sehingga menjadi bahan bualan netizen di media sosial.
Dalam Islam, penderaan merupakan perbuatan yang dilarang kerana ia bertentangan dengan nilai kemanusiaan seseorang.
Mereka yang melakukan kezaliman dan penganiayaan ini tidak dapat terkecuali dari hukuman dunia serta azab di akhirat kelak. Firman Allah SWT dalam surah As-Syura ayat 42 maksudnya:
“Sesungguhnya jalan (untuk menyalahkan) hanyalah terhadap orang-orang yang melakukan kezaliman kepada manusia dan bermaharajalela di muka bumi tanpa alasan yang benar. Merekalah orang-orang yang beroleh azab seksa yang tidak terperi sakitnya.”
Ajaran Islam menentang perbuatan mendera kanak-kanak dan ia perlu diatasi dengan segera. Kanak-kanak tidak boleh disalahkan atau dijadikan penyebab untuk ibu bapa melakukan penderaan walaupun mereka mereka terlebih aktif atau nakal.
Sebagai ibu bapa yang telah mengambil anak angkat, mereka hendaklah bertanggungjawab untuk memelihara dan membesarkan anak tersebut sehingga mereka mampu berdikari serta pandai menyara diri mereka, bukannya menyeksa mereka dengan perkara yang tidak baik lebih-lebih lagi anak itu masih kecil.
Fikir dahulu sebelum bertindak melakukan perbuatan yang menyeksakan terhadap kanak-kanak.
https://i.pinimg.com/originals/79/45/8e/79458e4e3498ff8d518d02027f6c06f5.jpg
Justeru, penting bagi ibu bapa memahami apakah peranan yang sebenarnya kepada anak angkat yang mereka pelihara. Antara peranan dan tanggungjawab yang sepatutnya diberikan kepada anak angkat tersebut adalah:
- Memberi nafkah
Apabila seorang Muslim membuat keputusan untuk mengambil anak angkat, dia sewajarnya memahami bahawa dia telah membuat keputusan untuk memikul satu amanah dari Allah dan menjadi kewajipan kepada mereka untuk memastikan kebajikan anak angkat tersebut terjamin.
Antara keperluan nafkah yang perlu diberikan kepada anak angkat ialah:
- Nafkah keperluan harian
Seperti pakaian, makan, minum serta tempat tinggal.
- Nafkah emosi
Islam sangat menekankan perlunya berkasih sayang di antara sesama manusia, tidak terkecuali hubungan kasih sayang antara ibu bapa dengan anak-anak termasuklah anak angkat. Sehubungan dengan itu, Rasulullah bersabda:
Maksudnya: “Bukanlah termasuk golongan kami, mereka yang tidak mengasihi anak-anak kecil kami dan tidak pula menghormati orang tua kami, serta tidak menyuruh yang makruf dan melarang yang munkar”. [HR Tirmizi 1921]
Layanan yang baik juga sangat penting buat anak angkat kerana ia mendorong kepada kasih sayang seorang ibu dan bapa kepada anak walaupun anak itu bukan anak kandung mereka.
Bahkan, kita juga adalah tempat mereka bergantung kasih selain daripada ibu bapa kandung mereka.
- Mendidik dengan cara yang betul
Didikan yang baik dari seorang ibu dan ayah akan mendatangkan hasil yang baik untuk perkembangan anak-anak. Berilah didikan ilmu kepada mereka dengan menyuruh mereka melakukan kebaikan, mendekatkan diri kepada Allah dan menjauhi larangan-Nya.
Namun, tidak dinafikan ada cabaran semasa menjaga dan mendidik mereka. Jika datang perasaan marah kita kepada anak, janganlah memukul anak dengan keganasan kerana ia akan menyebabkan penderaan fizikal dan emosi kepada anak.
Akibatnya, anak angkat yang dijaga semakin liar dan susah untuk mendengar kata jika kita berterusan menyakitinya. Sentiasa berlemah lembut pada mereka.
- Melindungi anak angkat dari perkara buruk
Sebagai penjaganya, kita hendaklah melindungi sepenuhnya anak angkat yang dipelihara dari perkara atau perbuatan orang lain yang tidak baik terhadapnya. Hal ini akan menunjukkan bahawa kita amat menyayangi mereka. Bahkan, dalam hadis Rasulullah ada menyebut:
Maksudnya: “Barangsiapa tidak mengasihi orang lain, maka dia tidak akan dikasihi.” [HR Bukhari 6013]
Jika terjadi lagi kes penderaan ini, digalakkan agar kita melapor segera kepada pihak yang berwajib untuk mengambil tindakan terhadap isu penderaan kanak-kanak atas dasar prihatin sebagai masyarakat.
Jangan abaikan perkara sebegini kerana khuatir penderaan yang dilakukan akan menjejaskan kesihatan anak tersebut dan memburukkan lagi keadaan.
Oleh itu, jangan meremehkan tanggungjawab yang sepatutnya diberi kepada anak angkat.
Ketahuilah bahawa apabila kita menjaga mereka dengan penuh rasa cinta dan kasih seperti mereka itu adalah anak kandung kita, pasti akan ada ganjaran pahala yang besar Allah berikan.
Sayangilah semua manusia yang diciptakan Allah, nescaya kita akan mendapat rahmat dan kasih sayang dari-Nya.
Disediakan
- Penyelidik Syariah : Khairul Hanin Binti Bazli
- Penyelidik Syariah : Nurizyan Binti Ruslan
- Penyelidik Syariah : Nik Mohammad Marwan Bin Nik Mohd Manan